UPSRA dibatalkan

0
3
Datuk Mohd Ajib

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) yang dijadualkan bermula pada 9 hingga 18 Ogos ini, dibatalkan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa peningkatan kes Covid-19 khususnya di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil berdasarkan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berfasa yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ketika ini.

“Sehubungan itu, Jawi akan melaksanakan kaedah Penilaian dan Pentaksiran Kurikulum Sekolah Rendah Agama (PPKSRA) yang setara sebagai menggantikan UPSRA.

“PPKSRA akan diguna pakai dan sesuai dengan syarat dan kriteria yang ditetapkan bagi pemilihan pelajar ke tingkatan 1 bagi tahun 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib berkata, pentaksiran itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan dalam pembelajaran serta kemenjadian murid kerana perkara tersebut dapat dinilai melalui pelbagai kaedah.

Pada masa sama, beliau berkata Jawi ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan kaedah pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. – Malaysiapost

Foto Kredit: Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here