KPM perlu perbaik sistem sekolah vernakular

0
3

PAS meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperbaiki sistem sekolah vernakular jika mahu meneruskan aliran itu.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, berkata sudah tiba masanya KPM mengkaji semula sukatan serta silibus sekolah di bawah kelolaan kementerian untuk diselaraskan sebaik mungkin, terutama dalam isu penggunaan bahasa rasmi.

“Ia kerana PAS melihat isu sekolah vernakular menjadi perbahasan sejak kebelakangan ini, wajar ditangani secara harmoni dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, agenda perpaduan kaum mesti diangkat menjadi teras utama dalam menjamin kehidupan masyarakat majmuk dalam negara ini.

“Pemerkasaan dalam memahami budaya dan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu wajib diperkasakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan sekolah vernakular memupuk perpaduan nasional telah lama dilihat dan disuarakan tokoh akademik dan perpaduan.

“Contohnya pendirian Prof Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa sistem sekolah vernakular yang digunakan selama ini menghalang pembentukan identiti nasional anak bangsa,” katanya.- Malaysiapost