SEORANG lelaki yang terpisah dengan keluarganya di wilayah Shandong di China kerana diculik pada 1997, akhirnya disatukan kembali.
Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, pertemuan menyayat hati berlaku selepas polis mengenal pasti anak lelaki kepada Guo Gangtan itu melalui hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Polis turut menangkap seorang lelaki bernama Hu dan seorang wanita bernama Tang di wilayah Shanxi di utara China atas tuduhan menculik dan menjual Guo Xinzhen, lapor BBC.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai menculik kanak-kanak lelaki itu dengan niat untuk menjualnya sebelum membawa lari mangsa ketika Xinzhen bermain di luar rumahnya.
Hu dan Tang kemudian dilaporkan menjual kanak-kanak itu ke wilayah Henan, tempat dia masih tinggal.
Sejurus kehilangan anaknya, Guo Gangtan aktif mencari anaknya, sejak 24 tahun lalu.
Malah, dia dilaporkan menunggang motosikalnya sejauh kira-kira 500,000 kilometer dan mengembara ke lebih 20 wilayah di China untuk mencari Xinzhen.
Akibatnya, Gangtan pernah patah tulang dalam kemalangan, dirompak dan 10 motosikalnya sudah rosak dalam misi pencarian itu.
Isu penculikan kanak-kanak berleluasa di China, sejak bertahun-tahun lamanya.
Menurut The Atlantic, Jabatan Luar Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 20,000 kanak-kanak diculik di China setiap tahun.
Terdahulu, penyatuan tragis lelaki itu dan keluarganya dibanjir ucapan tahniah netizen menerusi media sosial di China. – Malaysiapost

