Di mana kolektifnya keputusan barisan menteri sokong Muhyiddin? – Puad

0
2
KUALA LUMPUR 09 June 2015. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Sidang Media menegnai isu 1MDB di Menara MARA. NSTP/Salhani Ibrahim

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan keputusan barisan Menteri menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kenyataan bahawa keputusan barisan Menteri itu yang dibuat secara ‘kolektif’ perlu diberikan penjelasan lanjut.

“Cepat betul pusing. Sebelum ini ada dakwaan sudah tutup pintu depan tetapi ada pula orang lain buka pintu belakang. Mana kolektifnya?

“Nampak gaya ada Pegawai akan diambil tindakan. Kononnya Pegawai itu desak KP (Ketua Pengarah) Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham letak jawatan. Ia ada kaitan konflik pertindihan arahan?,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mohd Puad juga berkata, bagaimana pula dengan nasib Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen.

Katanya, ini kerana sebelum ini Dr Mohd Arshil dilaporkan menyatakan bahawa ketiadaan tindakan secara bersepadu dan arahan koordinasi daripada peringkat atas sehingga bawah sebagai punca negara tidak dapat keluar daripada gelombang ketiga Covid-19.

“Apa agaknya nasib Ketua Pengurusan Bhg Perkhidmatan Kesihatan ATM Bg Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen.

“Menurutnya, masalah utama sekarang ialah ketiadaan ‘unified action’ dan ‘coordination’ daripada ‘top down’. Ini isu kolektif.

“Apa pun rakyat menilai. Rakyat tahu. Netizen pandai menyiasat. Siasatan mereka meluas. Termasuk kenduri durian, sambil ziarah sambil makan dan percutian keluarga,” ujarnya.

Semalam, jemaah Menteri sebulat suara memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu dibuat oleh Ahli-ahli Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung, semalam.

Dalam satu kenyataan, Ahli-ahli Jemaah Menteri juga memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

Pada 8 Julai lalu, Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa serta-merta.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Katanya, ia juga diputuskan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan Umno pada 11 Mac tahun lalu, sebagai syarat parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here