Anak seni suarakan rasa tidak puas hati – Zahid Hamidi

0
2

SEMAKIN ramai tidak tertahan dengan tekanan dihadapi susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk mereka yang terlibat dalam industri seni tanah air.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan itu dapat dilihat melalui kempen ‘Apa Khabar Anak Seni’ untuk menarik perhatian ramai mengenai nasib warga seni.

Beliau berkata, perlu difahami industri seni bukan saja membabitkan golongan artis, pelakon dan penyanyi, tetapi pekerja di sebalik tabir, kru dan lain-lain yang menjadi sebahagian daripada industri itu.

Menurutnya, golongan di sebalik tabir berkenaan juga jauh lebih ramai dalam industri seni tanah air dan kebanyakannya dalam kumpulan B40.

“Sebahagiannya bergantung pendapatan berdasarkan projek. Tiada projek tiada pendapatan.

“Persatuan Seniman Malaysia turut menyatakan kekesalan baru-baru ini dengan memaklumkan industri seni tanah air berisiko menyembah bumi tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, industri seni dijangka tidak lagi mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama dan keadaan itu menyebabkan ramai anak seni yang kini tampil bersuara.

“Ya benar. Semakin ramai terus terang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang sedia ada.

“Yang puas hati cuma pendukung dan jentera siber mereka kerana syok bergayut kepada kuasa yang sementara,” katanya.

Beliau berharap, golongan anak seni dan rakyat keseluruhan dapat bersabar dan berdoa semoga semuanya kembali pulih seperti sediakala.

“Moga Allah angkat wabak dan penyakit Covid-19 ini dari negara kita dan seluruh dunia secepat mungkin.

“Kemudian bersama kita bangunkan semula negara seperti yang pernah kita nikmati bersama Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here