Sebutan kes Neelofa, PU Riz ditangguh ke 12 Ogos

0
2

SEBUTAN semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang dijadualkan di Mahkamah Majistret Seremban esok terpaksa ditangguhkan lagi.

Peguam pasangan berkenaan, M Haresh, berkata kes itu ditangguhkan ke 12 Ogos ini oleh mahkamah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah berkenaan.

“Mahkamah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini atas alasan PKPD masih dikuatkuasa di Seremban,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Pasangan selebriti itu didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here