KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) patut merancang untuk memerangi pandemik Covid-19 berdasarkan sains dan garis panduan perubatan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti meletakkan sains sebagai asas utama dalam membuat keputusan dan ketetapan bagi menangani pndemik itu.
“Kesemua ini menuntut kita untuk menilai semula strategi semasa dan keperluan untuk hadir dengan strategi baharu yang lebih bersesuaian dan berkesan. Misalnya, meletakkan sains sebagai asas utama kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat.
“Pada masa sama, masyarakat akan lebih jelas dengan cara kerajaan membuat keputusan bahawa ia bersandarkan sains dan garis panduan perubatan.
“Bukan tahap atau status ekonomi, jawatan dan pengaruh atau pertimbangan-pertimbangan lain yang kabur dan tidak adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mohamed Khaled turut membidas kerajaan PN yang didakwa gagal merancang tindakan berkesan seperti didedahkan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brig Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen bahawa ketiadaan koordinasi dan perancangan bersepadu antara punca negara tidak dapat menguruskan pandemik Covid-19.
“Kegagalan merancang adalah merancang kegagalan. Jadi tidak hairanlah, semalam sahaja kita mencatat 11,079 kes harian baharu.
“Bukan sahaja kes baharu mencecah lima angka sehari. Tetapi jika diperhalusi, ini bermakna dalam tempoh 24 jam lepas purata 7.6 orang rakyat disahkan positif Covid-19 bagi setiap minit.
“Kalau keputusan kita sememangnya berasaskan sains, kita akan lihat beberapa perkara yang berbeza.
“Antaranya, perbezaan prosedur atau kelonggaran kepada mereka yang sudah menerima suntikan satu dos, lengkap dua dos, mereka yang sedang menunggu suntikan dan yang langsung tidak mendaftar untuk vaksinasi,” katanya.
Tambah memilukan, Mohamed Khaled berkata, kegagalan kerajaan merancang dengan berkesan dapat dilihat meskipun sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ dan darurat telah dilakukan.
“Lebih pening dan penting, semua ini berlaku dalam tempoh darurat dan total lockdown yang menyaksikan rakyat di semua negeri dikurung di rumah.
“Kita mesti merancang untuk mengembalikan kehidupan dan operasi ekonomi dengan teliti dan berhati-hati. Pendekatan melihat jumlah kes positif harian semata-mata tidak mencukupi.
“Rakyat tidak boleh selama-lamanya dikurung dan disekat tanpa sebarang perancangan jangka panjang jelas dan strategik. Benarlah. Jika kita gagal merancang, kita merancang kegagalan,” katanya. – Malaysiapost

