Sukar perangi Covid-19, selagi kerajaan tak mengaku salah

0
3

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) masih enggan mengaku salah bahawa kesilapan percaturan yang dilaksanakan tidak berjaya mengekang peningkatan kes positif Covid-19 di Malaysia.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, sukar untuk kerajaan melaksanakan langkah yang tepat untuk menangani wabak ini jika berterusan menafikan kegagalan mereka menangani pandemik ini.

“Sampai sekarang kerajaan masih tidak mengaku kesilapan-kesilapan ini dan memberi rakyat pelbagai alasan.

“Selagi kerajaan tidak mengaku kesilapan-kesilapan mereka ini dan terus rasa mereka tidak bersalah dan ini semua adalah salah orang lain dan salah rakyat dan salah dunia, selagi itu langkah-langkah tepat pembetulan tidak akan diambil, dan selagi itu rakyat akan menanggung sengsara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih memburukkan situasi ini, Isham berkata, para penyokong kerajaan mendakwa peningkatan mendadak kes Covid-19 kononnya kerana peningkatan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan secara besar-besaran baru-baru ini.

“Mereka masih dalam penafian dan tidak mengaku yang wabak Covid-19 di Malaysia adalah semakin buruk.

“Apa yang mereka ingin kata ialah kononnya angka peningkatan jangkitan ini bukanlah peningkatan sebenar jangkitan tetapi hanyalah peningkatan kes positif yang dikesan melalui kadar ujian yang meningkat,” katanya.

Namun, menurut Isham, alasan itu boleh dipertikaikan ketelusannya adakah kes positif Covid-19 rendah juga terhasil daripada ujian saringan yang rendah.

“Para penyokong kerajaan tidak sedar ialah jika ikut logik mereka ini, adakah ia bermaksud angka jangkitan Covid-19 yang diwar-war oleh kerajaan selama ini juga adalah lebih rendah dari yang sebenarnya sebab sebelum ini ujian yang dibuat tidak mencukupi?

“Dan adakah selama ini angka jangkitan sebenar adalah jauh lebih tinggi? Dan logik mereka ini juga tidak boleh menjelaskan mengapa kes kematian akibat Covid-19 juga naik mendadak sehingga melebihi 80-100 kes sehari,” katanya.

Justeru, Isham menjelaskan, penambahan ujian tidak boleh menambah kes kematian.

Katanya, berbanding dengan negara lain termasuk negara-negara jiran, kadar jangkitan di Malaysia bagi setiap sejuta rakyat adalah lebih tinggi, dan Malaysia juga adalah antara yang tercorot di dunia dalam kadar vaksinasi.

“Peningkatan kes kematian menunjukkan situasi Covid-19 sememangnya semakin teruk. Kerajaan tidak boleh lari dari hakikat ini dan menyalahkan orang lain. Ini menunjukkan dua kegagalan kerajaan selama ini.

“Pertama, kegagalan untuk mengesan jangkitan lebih awal dengan penambahan ujian supaya langkah-langkah awal dapat diambil. Ramai orang dijangkiti dan mati kerana jangkitan dikesan pada fasa lewat.

“Kedua, kebarangkalian kerajaan menyalah-anggar (underestimate) jangkitan Covid-19 selama ini mengakibatkan dasar-dasar dan keputusan-keputusan yang dibuat tidak betul dan memburukkan lagi keadaan.

“Ramai orang telah dijangkiti dan mati secara langsung atau tidak akibat kesilapan-kesilapan dasar dan keputusan-keputusan kerajaan selama ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here