AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hanya membuat permohonan untuk melakukan agihan barangan bantuan dari rumah ke rumah, bukan secara berpusat di Pejabat Parlimen Muar.
Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay susulan Syed Saddiq semalam memaklumkan polis mengarahkan Pejabat Parlimen Muar ditutup kerana kehadiran orang yang terlalu ramai.
Menjelaskan mengenainya, Ayob Khan berkata tindakan menghentikan program serahan bantuan di pejabat berkenaan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muar, lapor Utusan Malaysia.
Katanya, arahan dibuat kerana pegawai kesihatan melihat program dihadiri lebih 100 orang itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menjalankan aktiviti bantuan memang dibenarkan tetapi perlu kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.
“Saya difahamkan permohonan ada dibuat, tetapi untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah, namun apa yang berlaku adalah pengedaran barangan dibuat di Pusat Khidmat Parlimen Muar.
“Jadi ramai yang berkumpul. Pertama mereka tidak mempunyai kebenaran untuk mengadakan program sedemikian di pusat itu.
“Kedua tiada penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Berikutan itu, beliau berkata penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar mengarahkan program itu dihentikan.
Ayob Khan seterusnya meminta mana-mana wakil rakyat yang mahu mengadakan rogram, agar mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta memohon kebenaran PKOB.
“Pihak berkuasa hanya mengeluarkan amaran kepada pihak terlibat dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq berkata sejak dua hari lalu, beliau dan pasukannya telah bekerja untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 5,000 keluarga di Muar.
“Biasanya ada dalam 150+ keluarga datang setiap hari. Tapi sejak dua hari lepas, jumlah keluarga yang datang telah naik tinggi.
“Orang sedang susah, lapar dan sakit. Mereka wajib dibantu. Pejabat saya tak boleh tolak orang yang mahu datang. Nak suruh mereka pulang sebab orang ramai, tak sampai hati,” katanya. – Malaysiapost

