Nilam Oshman
ADA yang menjadi penghantar barang dan makanan, selain berniaga kecil-kecilan secara dalam talian.
Itu antara ikhtiar pengusaha bas sekolah yang berdepan situasi sangat meruncing susulan hilang sumber pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Ketika baru menghela nafas lega apabila persekolahanan dibuka kembali Mac lalu, bas-bas sekolah kendalian mereka tersadai semula berikutan penutupan sekolah akibat peningkatan kes Covid-19, awal Mei lalu.
Di sebalik derita tanpa diketahui sampai bila akan berakhir, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata pengusaha bas sekolah tetap ikhtiar dan tidak berputus asa.
Katanya, kebanyakan mereka sedar dengan keadaan sekarang, di mana semua orang tidak boleh menjangka sampai bila PKP serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) akan berlarutan.
Justeru, katanya, untuk bergantung kepada pendapatan melalui bas sekolah menjadi tidak relevan buat masa kini, maka pengusaha bas terpaksa melakukan pekerjaan lain sementara waktu bagi mencari rezeki.
“Selain menunggu baki bantuan RM500, pengusaha bas mencari kerja lain yang boleh menjana pendapatan bagi meneruskan hidup, tak kira perniagaan atas talian mahupun penghantaran seperti Foodpanda atau Grab Food.
“Walau apapun keadaan, mesti teruskan perjuangan dan sabar sehingga kita dapat balik pendapatan tetap tapi tidak dinafikan ada juga yang putus asa dengan situasi tertekan ini,” katanya kepada Malaysiapost.
Amali turut meluah rasa lega apabila Kementerian Pendidikan dibantu pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjalankan usaha menyegerakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pengusaha bas sekolah.
Katanya, secara tak langsung dengan inisiatif itu, mungkin sekolah dapat dibuka tidak lama lagi.
“Majoriti guru sudah divaksin jadi pihak terbabit membuat inisiatif ini untuk mempercepatkan suntikan vaksin bagi kumpulan sokongan pula seperti pemandu bas selain pengusaha kantin dan pekerja pembersihan, ia petanda baik untuk kami setakat ini,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan lebih agresif dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat khususnya di Selangor yang mencatatkan kes harian tertinggi. – Malaysiapost

