Kekalkan semangat kebersamaan PN, pedulikan ‘kluster mahkamah’

0
2

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengajak semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan semangat kebersamaan dalam gabungan itu bagi mengelak perasaan muak rakyat dengan ahli politik.

Beliau berkata, semangat kebersamaan memang wujud di antara kelompok majoriti dalam kerajaan PN dan perkara itu sangat dikehendaki rakyat untuk membolehkan usaha memerangi Covid-19 dilaksanakan dengan berkesan.

Wan Saiful berkata, semua pihak dalam PN harus mengetepikan tindakan ‘kluster mahkamah’ yang jelas menunjukkan sikap hipokrit dan mempunyai agenda peribadi demi menyelamatkan diri.

“Dalam kerajaan PN ada 14 parti. Daripada 14 parti itu, Ketua-Ketua Penerangan daripada 13 parti bermesyuarat setiap minggu. Kami mendengar penerangan daripada Menteri-Menteri dan ahli-ahli akademik.

“Antaranya, kami telah mendengar pembentangan daripada YB Khairy Jamaludin, YB Tan Sri Anuar Musa, dan YB Datuk Takiyuddin Hasan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, semua parti hanya ada satu tumpuan iaitu menjaga rakyat dan membina ekonomi, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan memang wujud dalam PN.

“Saya rasa semangat kebersamaan sebeginilah yang sebenarnya dikehendaki oleh rakyat. Semua pihak berhenti bertelagah, dan tumpu kepada usaha memerangi Covid-19.

“Saya sudah banyak kali sebut bahawa jika orang politik terus bertelagah, rakyat akan muak dengan semua ahli politik secara keseluruhan walaupun sebenarnya yang bermasalah hanya satu kluster kecil sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, alangkah baiknya jika semua parti dan ahli politik dapat berkongsi semangat kebersamaan itu dalam menghadapi krisis Covid-19.

“Masa untuk bersaing dalam arena politik akan tiba pada PRU15 nanti. Tapi, sekarang, kita semua tumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dahulu,” katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti adalah permulaan yang baik kerana semua mereka perlu memainkan peranan membantu rakyat.

“Kita tolak tepi lah kluster mahkamah yang ada agenda peribadi. Saya yakin rakyat nampak sifat hipokrit mereka yang terdesak mempergunakan jentera politik untuk selamatkan diri.

“Tetapi bagi yang lain-lain, bukankah lebih baik jika kita semua menangguhkan persaingan politik, dan bersama-sama membela rakyat dan membina ekonomi? Supaya kita semua,” katanya.

Dalam hantaran sama, Wan Saiful turut menyertakan kenyataannya menerusi laporan Malaysiapost yang mendesak semua parti politik berhenti bertelagah.

Wan Saiful dilapor berkata, beliau menyambut baik kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri mewakili ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Pelan Pemulihan Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here