AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan sumbangan ‘food bank’ di kawasannya atas faktor prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, dalam tempoh masa empat jam sahaja sejumlah 853 orang datang ke food bank tersebut, yang mana 242 orang adalah warganegara manakala 611 lagi adalah bukan warganegara.

Katanya, sumbangan bekalan makanan itu adalah inisiatif badan bukan kerajaan (NGO), penderma swasta dan tidak menggunakan sebarang peruntukkan kerajaan.
“Orang ramai mula datang sejam lebih awal daripada masa pembukaan. Setelah berbincang dengan pihak polis, kami bersetuju untuk menamatkan food bank ini kerana permintaan yang terlalu tinggi dan ada yang datang sejauh Selayang, Jinjang, Rawang, Batu Caves dan Petaling Jaya.
“Saya bertanya kepada mereka yang datang mengenai keadaan semasa dan kebanyakan memberitahu saya bahawa mereka tiada pendapatan kerana tidak dapat bekerja semasa lockdown. Kami juga mengedarkan susu untuk mereka yang mempunyai bayi dan kanak-kanak.
“Pada hari pertama saya berdiri di gate (pagar) dan rasa nak menangis kerana melihat kesusahan yang dihadapi oleh orang ramai sekarang. Saya meminta maaf kerana tidak dapat meneruskan Food Bank ini tetapi kami akan terus mencari jalan untuk membantu mereka yang terkesan dengan PKP ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Hannah berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) seharusnya mencari jalan untuk membuka semula ekonomi kerana rakyat sudah terlalu lama duduk di rumah dan tidak mampu untuk bertahan lagi.
Beliau berkata, kerajaan harus meneliti keadaan rakyat yang mempunyai tanggungan kos sara hidup termasuk bil-bil utiliti yang perlu dilangsaikan.
“Macam mana nak bayar sewa, bil utiliti dan kos makanan keluarga sementara menunggu kes turun? Guna SOP yang betul dan perkasakan rakyat untuk lawan Covid,” katanya. – Malaysiapost

