PENDAKWAH terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad (UAS) menafikan khabar angin dirinya dijangkiti wabak Covid-19.
Memetik laporan news.detik.com penafian itu dibuat UAS selepas berita mengenai tahap kesihatannya tersebar sejak kebelakangan ini.
Malah, menerusi rakaman video yang diterima portal berita tempatan itu, UAS memaklumkan beliau berada dalam keadaan sihat.
“Hari ini pada hari Selasa 3 Zulhijah 1442, 13 Julai 2021, saya sehat walafiat,” katanya dalam rakaman video itu juga dibuat di hadapan beberapa kanak-kanak yang sedang bersiap untuk mengaji.
UAS berkata, beliau ketika ini sedang sibuk mengajar dan mengkhatamkan al-Quran serta buku-buku zikir selain mengakui hairan dengan berita tular mendakwa dirinya sakit.
“Beberapa ini keluarlah berita saya katanya kena Covid. Maka sesudah keluar berita Abdul Somad kena Covid, keluarlah jin-jin kafir, hantu, setan memberikan komentar,” ucapnya.
Malah, UAS juga mengakui bahawa jin kafir dan syaitan ‘senang’ jika dirinya sakit dan menjelaskan dirinya kini sedang fokus mengajar agama.
“Senang kalilah orang itu mendengar saya sakit,” katanya.
Sebelum ini, Koordinator Medianya, Faiz sebelum ini mendakwa UAS pernah dijangkitu Covid-19 dan khabar angin itu muncul ketika pendakwah itu baru pulang berceramah di awal-awal tercetusnya pandemik.
“Pada awal Covid-19 merebak di tahun 2020 sekitar bulan April atau Mac saya lupa. Tapi seingat saya beliau cerita awal-awal Covid (menular) di Indonesia,” ujar Faiz.
Terdahulu, media melaporkan UAS mendedahkan pernah mengalami gejala Covid-19 tetapi tidak menjalani sebarang ujian saringan.
Menurut UAS, apabila ada yang bertanya sama ada dia pernah dijangkiti Covid-19, dia tidak tahu mengenainya tetapi mengakui pernah mengalami gejala.
Kata UAS, pada masa itu, dia kehilangan deria bau, sakit badan dan kepala selepas pulang dari luar bandar baru-baru ini.
UAS pernah mencetuskan kontroversi apabila mengecam tindakan kerajaan Indonesia menutup masjid di kawasan yang dikenakan perintah berkurung dan mengatakan agama dijadikan kambing hitam dalam perang melawan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

