‘Saya tiada masalah dengan Presiden’ – Tajuddin

0
2

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menegaskan tidak berasa marah apabila jawatannya sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno kini diambil alih oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Salak itu, beliau tidak kisah dan tidak rugi apa-apa dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara berkenaan.

“Saya tiada masalah dengan Presiden, kalau Presiden ada masalah tak tahulah…nak tahu kena tanya Presiden lah.

“Saya tak ada rasa nak marah atau geram…saya ‘happy’ sahaja,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya Umno yang diumumkan Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyatakan berasa lega apabila tanggungjawab itu diberikan kepada pemimpin lain kerana boleh menumpukan pada tugas lain.

“Saya banyak kerja lain lagi nak buat…lega bila ambil balik tugas…mungkin dia (Presiden) tengok ini secara kebetulan.

“Jadi jangan sangka yang bukan-bukan,” katanya.

Tajuddin berkata, selama ini beliau berkhidmat ikhlas untuk parti termasuk berkorban dengan menggunakan duit sendiri demi kepentingan parti.

“Tok Mat (Mohamad) dah ambil alih baguslah. Dia Timbalan Presiden jadi tiada masalah dan diharap boleh membantu jentera Umno,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan Mohamad dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno berkuat kuasa serta-merta menggantikan Tajuddin yang memegang jawatan itu sejak November 2020.

Menurutnya, penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya Umno itu bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.

“Dengan kedudukan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen.

“Umno ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Tajuddin yang sebelum ini menggalas amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here