Varian Delta kini dominasi jangkitan baharu – Dr Noor Hisham

0
2

ANTARA faktor yang menyebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam negara ketika ini adalah varian Delta yang kini sudah mendominasi dan merebak dengan cepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan varian Delta kini menjadi dominan berbanding sebelum ini iaitu varian Beta yang menular di setiap negeri.

Menurutnya, varian Delta jika dilihat pada permulaan jangkitan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8, berbanding virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.

“Bererti kalau 100 orang dijangkiti (varian Delta) ia boleh menjangkitkan lebih 800 orang dalam tempoh yang singkat.

“KIta lihat jangkitan ini adalah melalui udara yang boleh menjangkiti dalam masa yang singkat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil bagi mengelakkan dari dijangkiti dengan kawalan kendiri iaitu memakai pelitup hidung dan mulut serta elak tempat sesak kerana kalau ada seorang yang positif maka ia akan cepat merebak.

Dr Noor Hisham berkata, sebelum ini penularan Covid-19 sudah mampu dikawal dan unjuran kes semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak Jun lalu juga mampu diratakan.

“Sebelum pelaksanaan PKPD pada Jun lalu, dalam tempoh 10 hari kita dapat ratakan kes daripada 9,000 kes sehari kepada 5,000 hingga 6,000 kes sehari.

“Bagaimapun, kes positif dilihat meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini yang disebabkan oleh varian Delta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here