CARA terbaik menurunkan jumlah jangkitan Covid-19 adalah melalui vaksinasi yang terbukti mampu mengurangkan jangkitan wabak berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan membabitkan fasa pertama termasuk petugas kesihatan, seramai 2,779 petugas kesihatan yang lengkap vaksinasi dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, majoriti daripada petugas kesihatan dijangkiti itu mendapat jangkitan tahap satu dan dua, manakala masing-masing tiga kes tahap tiga dan empat.
Menurutnya, golongan berkenaan yang tidak bergejala atau hanya mengalami gejala ringan juga dibenar kuarantin di rumah, sekali gus mengurangkan kemasukan ke hospital.
“Dalam fasa kedua PICK membabitkan warga emas juga menunjukkan penurunan kes membabitkan golongan terbabit.
“Melihat keadaan ini, kita perlu tingkatkan vaksinasi terutama di Lembah Klang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, vaksinasi sangat penting bagi mengurangkan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seterusnya dapat hidup bersama wabak ini.
“Sebagai contoh di United Kingdom (UK) kadar kematian akibat Covid-19 sebelum ini adalah satu kes bagi setiap 50 pesakit, namun selepas program vaksinasi kadarnya menurun kepada satu kes bagi setiap 1,000 pesakit,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memutuskan panduan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan Covid-19 esok.
Menurutnya, kaedah menggunakan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) itu mampu meningkatkan aktiviti saringan di lapangan.
“RTK-Antigen air liur boleh dilaksana sendiri yang menambahkan saringan di lapangan. Ini akan memungkinkan kes-kes (positif) di lapangan dapat dikesan dengan lebih baik lagi,” katanya. – Malaysiapost

