TPM yakin kontinjen negara hadirkan berita gembira dari Tokyo

0
1

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara mampu menghadirkan berita gembira dari Tokyo buat penyokong tanah air.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata kesemua atlet negara yang akan berjuang di temasya berprestij itu tidak keseorangan kerana turut mendapat sokongan 32 juta rakyat Malaysia.

“Pesanan saya, perjuangan di Sukan Olimpik bukan untuk mencipta pencapaian diri semata-mata, sebaliknya kejayaan membawa pingat emas ataupun apa apa pingat adalah kebanggaan buat negara.

“Seluruh rakyat menaruh harapan tinggi untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di langit Tokyo dan yang kita nantikan adalah lagu Negaraku bergema di bumi Matahari Terbit itu.

“Saya amat yakin dengan kemampuan anda semua. Berjuanglah berhabis-habisan demi memastikan nama negara subur dan harum di persada antarabangsa. Selamat berjuang buat kontinjen Malaysia,” katanya pada Majlis Amanat Perdana kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik secara maya, hari ini.

Ismail Sabri turut berharap sokongan kerajaan untuk membantu atlet negara layak ke temasya itu berbaloi dengan kejayaan yang bakal menyusul selepas ini.

“Walaupun saya tidak terbabit secara langsung dengan apa yang mereka lalui tetapi di pihak kerajaan, kita cuba memberikan ruang yang terbaik meskipun dalam era pandemik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita benarkan mereka berlatih secara ‘quarantine based’ sejak beberapa bulan yang lepas.

“Saya harap peluang ini digunakan sepenuhnya untuk melengkapkan diri mereka sebelum bertarung di Tokyo dan mencapai kemenangan,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung mulai 23 Julai hingga 8 Ogos yang mana Malaysia menghantar seramai 30 atlet. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here