PENDAKWAH bebas, Ebit Lew sebentar tadi berkongsi perkhabaran sedih kehilangan bapa tercinta yang baru saja meninggal dunia.
“Ya Allah beratnya rasa ujian ini. I love you bapak. Bapak pergi dulu. Nanti ebit sampai yer.
“Ya Allah ampunilah bapak. Sayangilah beliau, rahmatilah beliau, hadiahkan syurga Firdaus untuk beliau. Ya Allah temukanlah bapak dengan mak dekat sana.
Letakkanlah mereka bersama. Ya Allah, inilah ayahku yang sangat baik. Terima kasih pinjamkan dirinya untukku,” luahnya menerusi hantaran di Facebook.
Ebit turut memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Hospital Gleanagle untuk membawa jenazah bapanya ke Masjid Bandar Baru Ampang untuk dimandikan.
“Kemudian terus bawa ke Muadzam Shah, Pahang. Pohon doakan buat ayah saya dan hadiahkan AlFatihah,” katanya.
Sementara itu, pegawai khas beliau, M Azizul Fauzi menerusi kenyataan ringkas berkata bapa pendakwah kesayangan ramai itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.45 petang.
Ebit ketika berada di Mesir bulan lalu, iaitu dalam misi kemanusiaan ke Gaza, berkongsi di media sosialnya tentang perkembangan terbaharu bapanya.
Menerusi hantaran tersebut, Ebit memaklumkan status kesihatan bapanya yang berada pada tahap kurang memuaskan dan dijaga oleh abangnya. – Malaysiapost

