19 ahli Geng Sakai didakwa di mahkamah

0
3

SERAMAI 19 ahli kumpulan ‘Geng Sakai’ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Mereka disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah, pemerasan, pembunuhan, kekerasan, jenayah harta benda dan pemilikan senjata api, lapor Berita Harian.

Mereka yang didakwa adalah Rosli Sahak, Mohamad Faisal Mohamaf Sharif, A Ravindran, A Uthayakumar, A Kumaresan, T Kumar, S Sathiaseelan, N Tanasilan dan Thirumal Raj.

Turut didakwa M Darshan, M Ravishankar, M Thinesh, S A Dineswaran, S Mohanraj, R Nantha Kumar, S Gobinath serta S Sagadevan, N Tannish dan G Sivanamthan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 18 hingga 47 tahun sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edward Paramjothy.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Sakai, antara Januari 2019 dan 20 Jun 2021 di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng, Kuala Lumpur.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad dan Maryam Jamilah Ab Manaff, manakala peguam T Harpal Singh, Jay May Wei Jiun, Wan Zaleha Abdul Wahab, Datuk Geethan Ram Vincent dan P Taneshwaran mewakili kesemua tertuduh.

Terdahulu, Harpal memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan penahanan kesemua tertuduh mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, Maryam membantah ikat jamin kerana pertuduhan di bawah SOSMA adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula dan keputusan sama ada kesemua tertuduh boleh dijamin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here