Mahkamah beri Wan Muhammad Azri lebih masa buktikan bukan Papagomo

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memberi lebih masa kepada Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk membuktikan dirinya bukan Papagomo yang didakwa memfitnah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Way Chau.

Peguam K Simon Murali yang mewakili kedua-dua plaintif berkata, peguam mewakili Wan Muhammad Azri belum lagi dapat menemui anak guamnya itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung.

“Pendaftar Mahkamah membenarkan untuk memberi lebih masa dan kami tidak membantah,” kata Murali dipetik FMT, hari ini.

Bulan lalu, Guan Eng dan anaknya menghantar soalan bertulis kepada Wan Muhammad Azri kerana mendakwa dirinya bukan penulis blog yang dikenali sebagai Papagomo dalam pembelaannya.

Soalan itu dikemukakan bertujuan membangkitkan pembelaan substantif – justifikasi dan ulasan saksama (fair comment) – terhadap saman itu jika kenyataan dibangkitkan dibuktikan ditujukan kepada plaintif.

Guan Eng dan anaknya memfailkan saman fitnah terhadap Wan Muhammad Azri di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 15 Oktober 2020 berhubung dakwaan bahawa Clint membawa masuk wang RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.

Insiden itu dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina pada Mac 2020, namun menarik semula penerbitan berita itu dan memohon maaf.

Dalam salinan pernyataan pembelaan, Azri, menyatakan dirinya tidak bersetuju dengan kenyataan kedua-dua plaintif merujuk dirinya sebagai “Papagomo”.

Dia juga enggan mengaku dan menafi sekeras-kerasnya bahawa dirinya penulis blog, Papagomo dan mempunyai ribuan pengikut dalam Facebook. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here