Tiada niat mahu bongkak dengan kekayaan – Vida

0
2

SELEPAS dikecam kerana didakwa memperlekeh inisiatif kibaran bendera putih, jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) tampil memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata tempoh hari.

DSV atau nama penuhnya Hasmiza Othman berkata, kenyataannya sebelum ini bertujuan untuk membuka kata orang ramai agar tidak bergantung kepada bantuan semata-mata dan perlu berusaha untuk bangkit meneruskan hidup.

Turut dilabel sebagai riak kerana berada dalam status ‘kayangan’, DSV menafikan dirinya sombong dengan kekayaan yang dinikmati sekarang.

“Saya tiada niat nak menyombong walau sebesar zarah sekalipun. Adakah kamu ingat saya orang kaya yang sombong dan bongkak sampai tak ada belas kasihan pada golongan yang memerlukan? Sudah tentu tidak.

“Takkanlah orang yang susah minta pampers atau susu saya tak boleh bagi? Takkan saya nak merosakkan reputasi saya dengan perkara sedemikian.

“Saya terpaksa bercakap macam tu supaya kamu terus berusaha. Saya harap anda semua jelas dan tak biarkan isu bendera putih ni berlarutan,” katanya dalam siaran langsung (live) di Instagram.

Menurut DSV, niatnya hanyalah untuk menyedarkan orang ramai agar berusaha sendiri dah tidak terlalu bergantung dengan kempen bendera putih, sedang mereka mampu untuk berdiri atas kaki sendiri.

Katanya, situasi pandemik Covid-19 masih berlarutan dan tidak diketahui bila akan reda, maka semua pihak perlu berusaha sendiri untuk memulihkan keadaan.

“Jangan salahkan keadaan. Ambil hikmah depan mata. Jika ada orang yang susah, akan ada orang lain yang lebih susah. Jangan kaitkan saya ada modal tapi kamu tidak.

“Belajar hidup dalam norma baru. Kena ada usaha, ikhtiar dan tawakal. Jangan jadi seperti lagu nasihat Bangau Oh Bangau, nanti semua nak menyalahkan nasib,” katanya.

Sebelum ini, DSV mendapat kecaman hebat ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan lontaran pendapatnya berhubung gerakan membantu orang susah termasuklah menyebut kibar bendera putih.

Dalam video tersebut DSV berkata jangan menggunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak berusaha keluar daripada kemelut masalah dan hanya mengharapkan bantuan luar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here