SIDANG Parlimen yang dijadualkan diadakan pada hujung bulan ini seolah-olah sekadar melepaskan batuk di tangga, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.
Katanya, selaku Ketua Majlis untuk Parlimen, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memastikan Parlimen dapat bersidang dengan baik, bukan sekadar cincai membuat pengumuman melepaskan tengkuk.
Ini kerana Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, setakat ini setiap Ahli Parlimen belum lagi menerima pemakluman mengenai peraturan persidangan.
“Tak sampai dua minggu lagi persidangan khas Parlimen dijadualkan iaitu pada 26 Julai 2021.
“Namun sehingga kini Ahli-ahli Parlimen masih tidak menerima sebarang pemakluman mengenai aturan persidangan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, menurut Akmal, setiap kali sebelum sidang Dewan Rakyat diadakan, Ahli Parlimen diminta mengemukakan soalan-soalan kepada menteri.
“Persidangan kali ini kami masih tidak diminta berbuat demikian, adakah sesi kali ini Ahli Parlimen nak bertanyakan soalan juga tidak dibenarkan?,” katanya.
Akmal menambah, walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdolak-dalik, pembangkang sedaya upaya mencari ruang memastikan perbahasan telus dan komprehensif berjalan dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen serta lunas-lunas negara hukum.
“Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar suatu usul bagi memastikan sidang dewan akan datang mesti membahaskan Ordinan Darurat, situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi, kadar ujian saringan serta perincian terkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan.
“Adakah PN mempunyai ‘political will’ untuk perbaiki kesilapan? Entahlah, kalau yang berkuasa bagus dan komited, keadaan negara tidaklah seteruk seperti sekarang,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Persidangan Parlimen yang bakal berlangsung itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. – Malaysiapost

