Adik Bella perlu dapat pembelaan sewajarnya – Zuraida

0
2
zuraida

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mahu pelaku melakukan penderaan terhadap remaja Sindrom Down, Bella, menerima hukuman yang setimpal sekali gus mendapat pembelaan sewajarnya.

Zuraida berkata, beliau mengikuti perkembangan kes membabitkan anak istimewa itu yang berusia 13 tahun yang dipercayai telah didera oleh individu tidak berperikemanusiaan.

Ia susulan, sebuah rakaman video tular di laman sosial memaparkan kesan luka dan kecederaan yang telah dialami oleh Bella.

Katanya, kesan penderitaan Bella akibat didera dalam paparan video tersebut sangat menyayat hati dan meruntun jiwa.

” Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga amat terkesan melihat paparan video dan foto-foto yang menunjukkan nasib malang remaja kelainan upaya ini.

“Saya berharap pelaku yang bertindak melakukan penderaan terhadap Bella mendapat hukuman yang setimpal dan anak syurga ini terus mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin dan peka terhadap keadaan sekeliling.

” Sehingga kini saya difahamkan warganet menggunakan #JusticeforBella bagi terus memberi kesedaran kepada semua pihak. Semoga usaha ini beroleh kejayaan,” katanya.

Beliau juga mendoakan remaja terbabit cepat sembuh dan sihat.

“Saya mendoakan adik Bella lekas sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan kembali ceria,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di Wangsa Maju disyaki didera, baru-baru ini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dilaporkan berkata, mangsa adalah orang kurang upaya (OKU) sindrom down mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here