KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar usul bagi memastikan sidang dewan akan datang membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2021).
Ia juga termasuk situasi pandemik Covid-19 iaitu berkenaan kadar vaksinasi, kadar ujian saringan serta perincian berkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan.
Jelas Presiden PKR itu, beliau mengusulkan perkara itu kerana menyedari proklamasi dan ordinan berkenaan gagal mencapai maksud utama iaitu melandaikan keluk jangkitan virus tersebut.
“Menginsafi keadaan ekonomi negara semakin parah sehingga pelbagai petunjuk menuju ke arah negara gagal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Usul itu melalui satu surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata keadaan ekonomi rakyat yang terus meruncing dan kesenjangan kaya dan miskin semakin melebar sehingga wujudnya kumpulan B60 turut diambil kira dalam mengemukakan usul tersebut.
Sehubungan itu, menjunjung kasih kepedulian Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu yang menzahirkan pandangan pada 16 Jun lalu, iaitu sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan PPN dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah Seri Paduka Baginda, Parlimen berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

