Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam ditutup hari ini selama satu hari susulan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugas di pusat tersebut.
Menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan di Twitter, penutupan itu bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.
“Langkah segera penutupan ini diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan,” menurut CITF.
Dalam pada itu, CITF menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC di antara 29 Jun hingga 12 Julai 2021 untuk membuat penilaian kendiri dan menjalankan ujian saringan jika bergejala.
“Susulan itu, janji temu yang telah diberikan pada hari tersebut akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan diumumkan secepat mungkin.
“Butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan, sila hubungi 03-88934303,” menurut kenyataan itu.- Malaysiapost
Foto Kredit: TW/Anas Alam Faizli

