PRN Sabah: Misi hapuskan PTI dan pembaziran keutamaan LDP

0
3

PARTI Liberal Demokratik (LDP) menggariskan usaha menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin (PTI) dan pendekatan mengelak pembaziran jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Presiden Kehormat Seumur Hidupnya, Tan Sri Chong Kah Kiat, berkata isu PTI yang semakin menjadi-jadi antara punca beliau kembali aktif dalam politik Sabah selepas bersara selama 13 tahun.

Jelasnya, beliau yakin mampu menyelesaikan isu itu dengan kerjasama agensi keselamatan dan kerajaan Pusat seperti yang berjaya dilakukannya ketika menjadi Ketua Menteri antara 2001 hingga 2003.

Pada masa sama, katanya, beliau melihat banyak perkara yang membazir dilakukan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini yang menyebabkan perbelanjaan negeri meningkat.

Malah, katanya, tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal juga memberi kesan kewangan kepada kerajaan kerana terpaksa membayar pencen kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) walaupun berkhidmat tidak sampai sepenggal.

“Adakah Ketua Menteri terfikir, ketika meminta Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN, betapa serius kesan kewangan dengan membayar pencen kepada ‘katak politik’ bagi tempoh perkhidmatan selama dua tahun dua bulan saja.

“Adilkah ini berbanding tempoh perkhidmatan pegawai kerajaan yang terpaksa bertungkus lumus sekurang-kurangnya 10 tahun untuk melayakkan mereka mendapat pencen? Siapa yang akan menerima bebanan ini kalau bukan rakyat,” katanya pada sidang media LDP di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin serta kira-kira 40 bakal calon parti itu yang dijangka membawa cabaran LDP pada PRN Sabah, 26 September ini.

Katanya, jika LDP berjaya membentuk kerajaan, ia akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira siapa Perdana Menteri dan meneruskan rundingan hak Sabah dengan melantik pakar perundangan untuk mewakili negeri.

LDP juga katanya akan merombak Kabinet negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), membatalkan Empangan Papar dan mengembalikan Sabah sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia.

Menerusi rombakan Kabinet, katanya, kementerian yang berlaku pertindihan tugas dengan agensi sedia ada atau kementerian Pusat akan dimansuhkan, manakala jawatan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan dipegang orang berlainan.

“Jawatan timbalan ketua menteri akan dihadkan satu saja berbanding tiga sekarang. Ketua Menteri dan semua ahli Kabinet juga hanya dibenarkan melantik seorang setiausaha politik dan seorang pembantu menteri,” katanya.

Rombakan drastik itu katanya dapat menjimatkan berjuta ringgit wang rakyat.

Bagi meningkatkan ekonomi Sabah, katanya LDP akan mempromosikan Sabah kepada pelabur luar dengan fokus kepada China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dalam bidang pertanian, makanan dan berasaskan teknologi tinggi.

Turut digariskan ialah menjadikan Sabah sebagai hab pendidikan dengan mengundang universiti bertaraf dunia dari barat, China, Korea Selatan dan Jepun menubuhkan kampus di negeri itu.

Terdahulu, Su Phin berkata LDP membuat keputusan meminta Kah Kiat mengetuai parti itu dalam PRN kali ini dalam misi membentuk kerajaan baharu dengan bertanding lebih 40 kerusi.

Katanya, parti itu sudah selesai menyenarai pendek bakal calon selepas menemuduga lebih 200 individu dengan memilih pemimpin yang berkaliber, memiliki kelayakan, rekod yang bersih dan terdiri daripada muka baharu.

“Dulu LDP hanya bertanding di kawasan majoriti Cina kerana agihan kerusi ketika di bawah Barisan Nasional (BN) meletakkan kami hanya di kawasan Cina walaupun parti ini sebenarnya berasaskan pelbagai kaum.

“Memandangkan LDP bukan lagi komponen BN, sekarang kita bebas meluaskan kawasan termasuk di kerusi majoriti Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut,” katanya.

LDP dijangka mengumumkan senarai calon parti itu pada minggu depan.-Malaysiapost