Jawatankuasa Integriti siasat isu jual slot vaksin

0
3
Botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

BADAN Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi yang dilaporkan berlaku.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata jawatankuasa itu dianggotai wakil daripada CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata beberapa tindakan sudah dan akan terus diambil CITF untuk membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi daripada terus berlaku.

“Antaranya CITF bekerjasama dengan PDRM bagi menyiasat isu ini seawal Jun lalu dan sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak PDRM.

“Selain itu satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan ‘senarai menunggu’ sudah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain memperkemaskan pemantauan di PPV melalui garis panduan berkenaan, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin.

Sementara itu, mengenai laporan kehadiran individu positif Covid-19 di PPV, Khairy berkata, langkah segera diambil oleh pusat iaitu menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit dan melaksanakan ujian Covid-19 ke atas petugas.

Katanya, setiap PPV turut diarahkan untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk PPV supaya tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian Covid-19 untuk bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

Sementara itu, berhubung isu dakwaan suntikan vaksin yang melepasi tarikh luput, beliau mendapati perkara itu tidak benar sebaliknya, tarikh luput dos kedua yang tertera di MySejahtera individu terbabit sebenarnya adalah tarikh luput vaksin yang diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang sudah diperiksa. Kesilapan merekodkan data menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemaskini ke dalam MySejahtera bagi individu terbabit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here