Mohd Bakke dilantik Pengerusi Petronas

0
2

TAN Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Petronas berkuatkuasa 1 Ogos ini, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau menggantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh yang dilantik Pengerusi Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) berkuatkuasa pada tarikh sama.

“Tan Sri Mohd Bakke merupakan ahli korporat berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman dimiliki beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap lebih cemerlang,” kata kenyataan itu.

Menurut PMO, Ahmad Nizam juga akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC yang mana pengalaman beliau di Petronas dan pengurusan hartanah KLCC bakal membawa nafas baharu dalam pengurusan PHB.

“Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi Petronas.

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau telah mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik Covid-19.

“Petronas masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya.

Mohd Bakke sebelum ini pernah menerajui FELDA sebagai Pengerusi dan bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP).

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dari London School of Economics, United Kingdom pada 1977 dan menjadi Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales (ICAEW), serta Ahli Institut Akauntan Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here