Kumin KU2 meninggal dunia

0
3

PELAWAK, Kumin KU2 atau nama sebenarnya Khuzaimi Ismail, 49, meninggal dunia akibat jatuh dari katil di kediamannya di Pandan Indah, Selangor, jam 12.31 tengah hari tadi.

Exco Agama Persatuan Seniman Malaysia, Salman Al Farisi berkata, Allahyarham Kumin berada dalam keadaan baik sebelum terjatuh secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri.

“Kami baru mendapat perkhabaran sedih itu sebentar tadi. Kami dalam perjalanan ke rumah sewanya di Pandan Indah untuk menguruskan jenazah.

“Insya-Allah jenazah akan dikebumikan selepas Asar,” katanya seperti dilaporkan mstar.

Pada 31 Julai lalu, Kumin dimasukkan ke Hospital Ampang kerana diserang angin ahmar dan air berlebihan di dalam badan.

Kumin mula aktif dalam industri hiburan sejak era 1990-an dan dikenali bersama rakan baiknya, Allahyarham Bob Kuman apabila menubuhkan kumpulan duo dikenali KU2 yang melonjakkan populariti mereka.

Kumpulan duo ini pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001). -MalaysiaPost