Pelantikan Ketua Pesuruhjaya: SPRM sediakan kertas Kabinet

0
2

CADANGAN pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kini di peringkat penyediaan kertas Kabinet.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan kertas Kabinet berkaitan cadangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan kelulusan.

Selain itu, cadangan bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bagi mengendalikan pengambilan dan pemberhentian kakitangan serta pegawai badan itu, turut di peringkat penyediaan kertas Kabinet.

“Seterusnya, perkara ini akan diusulkan di Dewan Rakyat, pada sidang yang terdekat selepas diluluskan Kabinet.

“Kedua-dua cadangan ini adalah peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan dilaksanakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Kedua-dua cadangan itu adalah antara reformasi undang-undang berkaitan SPRM bagi menjamin kebebasan agensi itu.

Selain proses pelantikan, reformasi berkenaan turut membabitkan prosedur penamatan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya yang akan melalui tribunal khas serta mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.- Malaysiapost