PENAMBAHBAIKAN infrastruktur kesihatan dan meningkatkan kadar vaksinasi antara fokus utama yang akan diberikan kerajaan dalam menangani situasi pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain itu usaha ditumpukan dalam memperluas bantuan kebajikan, menambahbaik formulasi prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan koordinasi dan tindakan bersepadu di setiap peringkat termasuk daripada sudut logistik.
Menurutnya, itu antara perkara dibincangkannya ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Kami bincang secara menyeluruh tentang banyak perkara terutama berkaitan situasi pandemik Covid-19.
“Demi memastikan perancangan ini dapat segera dilaksanakan, kami akan bawa ke Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang ini untuk diteliti bersama oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau senada dengan Ismail Sabri yang berpendapat lantikan mereka ke jawatan baharu hadir bersama tanggungjawab yang besar khususnya untuk membantu Perdana Menteri serta kerajaan memerangi Covid-19.
Terdahulu dalam satu lagi hantaran, beliau turut bertemu dan berbincang bersama Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Penting untuk kami mempunyai hala tuju yang sama memandangkan salah satu tugas saya sebagai Menteri Kanan Luar Negeri ialah membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan PPN.
“Saya faham, kegusaran terbesar rakyat ketika ini ialah situasi di Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.
Menurutnya, dengan mandat yang diberikan, beliau bersama Tengku Zafrul mahu memastikan gerak kerja demi memulihkan situasi dilipatgandakan. – Malaysiapost

