MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kompaun itu dikenakan susulan kunjungan beliau ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 10 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan tindakan penguatkuasaan terbabit.
“Beliau (Annuar) dikompaun RM2,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17, Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya.
Sementara itu, pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan, turut mengesahkan menerima kompaun tersebut.
“Berkaitan kunjungan Tan Sri Annuar Musa, ke Bait Badawi (kediaman Tun Abdullah Badawi) pada Sabtu lalu, beliau sudah menerima kompaun daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beliau menjelaskan kompaun terbabit secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, Annuar dikesan melanggar SOP PKP 3.0 oleh netizen di laman Twitter.
Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam satu ciapannya, memaklumkan beliau bersama isteri menziarahi bekas Perdana Menteri itu di kediamannya baru-baru ini. – Malaysiapost

