‘Terima kasih Tun, kami terima kritikan dengan hati terbuka’

0
3

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata beliau menerima kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangannya menubuhkan parti baharu untuk golongan muda, dengan hati terbuka.

“Terima kasih Tun. Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka. Parti (baharu) ini dipimpin oleh orang muda untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani moden, pemimpin masyarakat dan lain-lain.

“Kami mungkin muda, tetapi kami cintakan Malaysia,” kata bekas Ketua Armada Bersatu itu menerusi ciapan di Twitter.

Syed Saddiq berkata demikian susulan kenyataan Dr Mahathir hari ini yang menyifatkan hasrat beliau menubuhkan parti khusus golongan muda, tidak akan berjaya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, biarpun golongan muda mewakili majoriti yang besar dalam senarai pemilih, ia masih tidak cukup untuk memenangi sesebuah kawasan pilihan raya.

“Saya tidak tahu kenapa beliau mahu menubuhkan parti baharu (khusus golongan muda), saya berpendapat ia tidak akan berjaya kerana kita memerlukan sokongan daripada semua orang.

“Tidak cukup untuk menang jika kita hanya mendapat sokongan dan undi orang muda,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. -Malaysiapost