Malaysia dibebani hutang warisan, tapi masih mampu memerangi Covid-19

0
2
Suasana di sekitar bandaraya Kuala Lumpur malam terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) "Total Lockdown" ketika tinjauan Malaysiapost malam ini.

WALAUPUN dibebani hutang warisan dan isustruktur sosioekonomi serta ketidakpastian politik, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mampu membantu rakyat ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RM38 bilion telah disalurkan dalam bentuk bantuan langsung dan subsidi pada tahun 2020, sementara RM45 bilion telah diperuntukkan untuk tahun 2021, dengan baki RM28 bilion untuk dibelanjakan sehingga penghujung 2021.

“Di waktu yang sukar ini, setiap hari, setiap bulan, rakyat memikirkan keperluan makanan untuk keluarga. Kerajaan memahami dan mendengar rintihan mereka.

“Justeru, apakah sebahagian daripada bantuan langsung yang disalurkan? Di bawah Bantuan Makanan Rakyat, sejak bulan Januari, lebih 430,000 bakul makanan telah diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia.

“Mulai Julai 2021, 300,000 keluarga di bawah Program Prihatin Kasih akan menerima bantuan makanan selama 3 bulan berturut-turut dengan nilai keseluruhan RM100 juta,” katanya di Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul yang baru dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengakui keyakinannya terhadap strategi yang disusun di bawah PPN bukan hanya sekadar sinar harapan, malah memberikan Malaysia panduan jalan keluar ke destinasi seterusnya.

“Setiap bencana yang diuji, pasti ada jalan keluarnya. Kegagalan bukanlah satu pilihan. Insya Allah, rakyat Malaysia akan mengatasi krisis ini bersama-sama dan hari-hari yang lebih baik bakal menanti kita di hadapan.

“PPN yang merupakan blueprint bagi kita beralih secara beransur-ansur dari satu fasa ke satu fasa, merupakan pelan yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.

“Dalam menghadapi cabaran Covid-19 yang sentiasa berubah, kita perlu sentiasa tangkas dan bersedia untuk meminda perancangan berdasarkan situasi semasa, dengan mendengar nasihat pakar dalam bidang masing-masing.

“Tiada penyelesaian mudah atau sempurna untuk kita keluar daripada belenggu ini, namun Kerajaan akan berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga menafikan Malaysia dalam situasi terancam dan gagal menangani pandemik Covid-19.

“Benarkah tuduhan ini? Baiklah, kalau kita tengok daripada aspek vaksinasi, Malaysia sudah mencapai secara konsisten kadar vaksinasi melepasi 300,000 dos sehari.

“Dengan kadar vaksinasi sedia ada, Malaysia merupakan 10 negara tertinggi di dunia kadar vaksinasi hariannya. Dalam bulan ini sahaja, Malaysia bakal menerima sehingga 14 juta dos vaksin, membolehkan kadar vaksinasi terus ditingkatkan sehingga 400,000 dos sehari.

“Kerajaan akan berusaha memastikan kadar vaksinasi terus ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here