Porpaganda Malaysia gagal, angkara pihak rakus mahu berkuasa – Hadi

0
2
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

HANYA mereka yang masih gila berpolitiking akan membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kelompok itu juga dilihat seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi disebakan nafsu politik angkuh tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa.

Katanya, mereka juga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah berkenaan seperti mana apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.

“Pasukan barisan hadapan berusaha gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat.

“Namun, sikap mereka yang terlalu berpolitiking mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak Covid-19, dianggap sebagai berpolitik,” katanya dalam kenyataan minda Presiden PAS, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kelompok berkenaan juga berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani wabak ini.

Katanya, tindakan itu umpama orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya.

“Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.

“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, sehingga kini, belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada sudah berjaya menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19, namun tidak ada yang berputus asa.

“Kini, muncul pula pelbagai varian baru yang dikatakan paling berbahaya seperti varian Delta dan lain-lain bentuk. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Justeru, segala usaha dan perjuangan menangani Covid-19 oleh pemerintah perlu didukung bersama tanpa berputus asa dan hendaklah bertolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here