Rai hari jadi, 10 individu dikompaun RM15,000

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SERAMAI 10 individu dikompaun berjumlah RM15,000 kerana berkumpul bagi meraikan sambutan hari jadi saudara mereka, di Skim Penempatan Baru Stapok di Kuching, Sarawak petang tadi.

Semua 10 lelaki berusia antara 24 hingga 53 tahun itu dikenakan kompaun berjumlah RM1,500 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, berkata mereka didapati melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Skim Penempatan Baru Stapok jam 6.30 petang.

Katanya, ia ketika serbuan dijalankan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bekerjasama dengan pasukan daripada Balai Polis Kota Sentosa.

“Semasa serbuan didapati 10 lelaki berkumpul dan duduk di bawah tempat letak kereta sambil menikmati jamuan tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pemilik rumah mengaku tujuan mereka berkumpul untuk meraikan sambutan hari jadi yang diadakan untuk saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesalahan itu mengikut Peraturan 17(1) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

“Semua mereka bersetuju menerima tawaran kompaun yang dikenakan atas kesalahan dilakukan dan kompaun perlu dibayar dalam tempoh 14 hari,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here