Hannah Yeoh gesa TPM kaji percanggahan SOP 3 sektor

0
2

AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengkaji semula untuk memperbetulkan percanggahan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tiga sektor.

Hannah berkata, ia termasuk membuka semula sektor perkhidmatan kedai alat tulis bagi mempermudahkan urusan pelajar termasuk mereka yang bekerja di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk membeli peralatan tersebut.

“Kerajaan Perikatan Nasional mahukan rakyat bekerja dari rumah dan para pelajar menjalani pembelajaran dalam talian namun semua kedai alat tulis diarahkan tutup. Buku tidak jatuh dari langit dan kertas tidak terbang melayang.

“SOP yang membingungkan ini menimbulkan kesulitan kepada mereka yang terpaksa begerak dari satu kedai ke kedai hanya untuk membuat salinan, mencetak atau membukukan dokumen.

“Terdapat pelajar mata pelajaran seni dan pelbagai mata pelajaran lain untuk kelas dalam talian. Bagaimanakah mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa mempunyai peralatan yang mencukupi? Ibu bapa perlukan kedai alat tulis untuk melengkapkan anak-anak mereka supaya dapat terus belajar sepanjang lockdown ini,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga perlu membuka pasar pagi terbuka bagi memudahkan rakyat khususnya warga emas bagi membeli barangan keperluan dengan lebih dekat berbanding sekarang, akibat PKPD mereka yang berusia terpaksa bergerak jauh dan kos untuk pergi pasar besar.

“Perlaksanaan lockdown bertujuan untuk menurunkan jumlah kes positif Covid harian. Kerajaan akan hanya dapat melakukannya jika SOP dilaksanakan berdasarkan sains seperti menggalakkan pengudaraan di kawasan yang lebih luas dan kurang sesak.

“Saya mahu membangkitkan kes di Pasar Pagi Taman Kok Doh di dalam kawasan Parlimen saya yang mempunyai ramai pelanggan golongan warga emas setiap pagi.

“Arahan penutupan perniagaan sepanjang lockdown memaksa mereka membeli di pasar raya besar yang terletak di dalam kawasan Parlimen yang lain dan menyebabkan kos perjalanan bertambah serta persekitaran yang kurang selamat kerana ianya adalah pasaraya yang tertutup,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kerajaan membenarkan perkhidmatan kesihatan, kedai gunting rambut dan pusat kesihatan seperti kiropraktor, tukang gunting rambut, pendandan rambut atau ahli terapi berlesen untuk beroperasi berdasarkan SOP yang sebelumnya dan mengambil langkah keselamatan yang lain.

“Malaysia telah melalui banyak siri lockdown sejak tahun 2020 tetapi saya dimaklumkan bahawa kiropraktor tidak boleh beroperasi kali ini sedangkan ahli fisioterapi dibenarkan.

“Mengapakah ahli fisioterapi dianggap tidak akan menyebarkan virus berbanding kiropraktor? ,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Timbalan Perdana Menteri dapat memastikan Kementerian yang berkaitan mempunyai lebih persefahaman dalam membuat keputusan bagi membuka sektor tersebut dan juga dalam menentukan SOP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here