MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata perjuangan beliau adalah untuk memastikan Umno menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya parti itu tidak diseret ke jajaran songsang.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau kini diserang fitnah bertali arus mendakwanya taksub kepada Bersatu dan mempunyai niat untuk merosak serta melemahkan Umno.
“Sehingga kini, saya terus berjuang untuk memastikan Umno menang besar PRU15, agar Umno tidak diseret songsang ke jajaran yang bercanggah dengan keputusan parti.
“Kalau saya menentang individu tertentu, jangan cuba gambarkan saya menentang Umno,” katanya dalam hantaran Facebook.
Annuar berkata, pihak yang mereka-reka berita palsudan fitnah berkenaan terlupa bahawa beliau adalah bekas Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung Umno.
“Saya mengenali dan mengetahui siapa yang sejak dulu membuat kerja begini. Ternyata mereka tidak mengenali saya.
“Saya tak perlu reka ‘fake news’. Kalau ada isu terhadap sesiapa, track record saya, saya gomo sendiri direct ‘without fear or favour’.
“Malah baru semalam saya memberi pandangan tentang FAKE NEWS kepada Menteri KKMM,bahawa kerajaan terlalu lemah mengawal fake news,” katanya.
Annuar berkata, Umno bukan milik individu dan jangan jadikan parti itu sebagai perisai menyelesaikan masalah peribadi.
“Cukuplah belajar dari sejarah, Umno ditolak rakyat kerana kesilapan individu-individu, kadangkala berpunca dari isu dan kesalahan yang Umno langsung tak tahu menahu.
“Saya terus istiqamah memilih jalan yang baik lagi benar untuk Umno. Agar Umno selamat dari kesilapan masa lalu,agar Umno tidak menjadi tunggangan individu,” katanya.
Annuar berkata, beliau mahu Umno menunjangi penyatuan dan perpaduan Melayu bukan berhempas pulas menjatuhkan bangsa sendiri.
“Insyaallah sudah semakin ramai semakin kenal mereka yang berbohong dan menipu yang mana intan, yang mana batu.
“Kepada pereka fitnah, hidup anda tak mungkin diberkati hajat anda tak akan kesampaian…..itu pasti,” katanya. – Malaysiapost

