KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan, permohonan penginapan dan asrama pekerja di kawasan perumahan tidak dibenarkan terhadap kediaman bagi kategori kos rendah, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan mampu milik bagi tujuan penginapan pekerja.
KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, larangan itu juga merangkumi kediaman berbentuk pangsapuri atau flat awam.
Makluman itu bagi memberi penjelasan susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Selangor, Rodziah Ismail yang meminta KPKT menyediakan garis panduan untuk tidak membenarkan majikan menjadikan pangsapuri atau flat awam sebagai asrama pekerja asing.
Menurut KPKT, bagi menyelesaikan isu dan permasalahan semasa berkaitan penginapan pekerja khususnya pekerja asing, kementeriannya menyediakan Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek yang diluluskan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 2 Mac lalu.
“Pekeliling khas Ketua Setiausaha KPKT telah diedarkan kepada semua negeri 23 Mac lalu untuk tujuan diterimapakai dan dilaksanakan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tiga tahun (2021 sehingga 2023).
“Kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Jun lalu pula telah bersetuju menerima pakai sepenuhnya prosedur ini.
“Ini bermakna PBT perlu menguatkuasakan mulai tarikh prosedur ini diterimapakai, bukan akan dikuatkuasakan kepada permohonan baharu pada tahun hadapan seperti dakwaan Rodziah,” menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan, prosedur itu turut menyenaraikan enam alternatif bagi tujuan permohonan penginapan pekerja secara jangka pendek di premis sedia ada iaitu penginapan pekerja di kawasan perumahan, asrama pekerja di kawasan perumahan dan penginapan pekerja di unit rumah kedai.
Menurutnya, alternatif lain adalah penginapan pekerja atau asrama pekerja di kedai pejabat atau plot perniagaan, penginapan pekerja atau asrama pekerja di premis perindustrian dan asrama pekerja di dalam tapak bina.
KPKT memaklumkan maklumat lanjut berkaitan Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek boleh dilayari melalui pautan berikut: https://jkt.kpkt.gov.my/.
“Dalam usaha memastikan pembangunan dan operasi penginapan pekerja yang lebih teratur, lengkap dan mampan, KPKT melalui PLANMalaysia telah menggubal Draf Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat.
“Garis panduan ini meliputi cadangan penginapan di kawasan baharu dan premis terbiar serta terbengkalai iaitu sebagai satu kaedah penyelesaian jangka panjang dan akan dibentangkan di Mesyuarat MNKT 13 Julai ini untuk tujuan pertimbangan dan mendapat maklum balas daripada Kerajaan Negeri,” katanya. – Malaysiapost

