198 individu ingkar PKP ditahan

0
2

SERAMAI 198 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 184 individu dikompaun, sembilan individu direman dan lima dijamin.

Ismail berkata, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk, iaitu 25 individu manakala 17 individu tidak memakai pelitup muka serta 41 individu membabitkan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, 109 individu ditangkap kerana terlibat aktiviti di dalam pub dan kelab malam, seorang gagal mematuhi arahan kuarantin, dan dua individu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM juga mengadakan 63 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng di seluruh negara.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap 23,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutama di lorong-lorong tikus.

“Pihak PDRM telah berjaya menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen,” katanya lagi. – MalaysiaPost