Covid-19: Malaysia tak terburu-buru beli vaksin

0
1

MALAYSIA tidak terburu-buru membeli vaksin Covid-19 kerana mahu memastikan terlebih dahulu ia benar-benar berkesan dan selamat digunakan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan tiga fasa, dengan fasa terakhir ujian ke atas manusia.

“Kita tunggu negara yang buat ujian klinikal seperti China yang membuat ujian di Emiriah Arab Bersatu dan Brazil.

“Rusia pula belum pun sampai tahap ujian klinikal ketiga,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau ditanya perkembangan pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan susulan laporan sesetengah negara telah memulakan proses diplomasi bagi pembeliannya.

Dr Adham berkata kerajaan masih menggunakan diplomasi sains serta akses kepada negara yang boleh mengeluarkan vaksin berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin dan negara-negara yang sedang membangunkan vaksin berkenaan,” katanya.

Mengulas saringan Covid-19 di pasar-pasar awam, beliau berkata KKM telah membuat saringan terhadap peniaga di 464 pasar di seluruh negara melibatkan 36,919 sampel (swab) dengan 287 (0.8 peratus) daripadanya didapati positif Covid-19.

Katanya, pemeriksaan di pasar awam dilaksanakan secara berterusan kerana ia tempat sesak dan sempit. – Malaysiapost