UMNO sepatutnya sudah lama mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu sebaik sahaja Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentuk pada Mac tahun lalu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti sebagai parti terbesar dengan 43 kerusi dan selayaknya mendapat jawatan tersebut.
“Dalam politik ini, perlulah berlaku adil. Jika tidak, gabungan yang dibentuk itu tidak stabil.
“Sewajarnya jawatan Timbalan Perdana Menteri itu dari sudut politiknya sudah diberikan sejak awal lagi kepada Umno apabila kerajaan ini (PN) dibentuk pada Mac tahun lalu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan pek makanan kepada guru besar dan pengetua sekolah secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, Benut, hari ini.
Sementara itu, Ahmad menafikan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin bahawa seramai 30 ahli Parlimen daripada Umno bersetuju supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti.
“Dalam kalangan ahli Parlimen Umno, tiada gerakan untuk meminta Presiden meletakkan jawatan kerana tiada sebab perkara itu hendak dibuat.
“Ahmad Zahid belum didapati melakukan apa-apa kesalahan. Kesnya juga masih lagi di mahkamah dan belum ada apa-apa lagi keputusan,” katanya.
Pada 7 Julai lalu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan ketika ini.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pelantikan itu akan dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi pada masa ini.
Katanya, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. – Malaysiapost

