UiTM ucap takziah kepada keluarga dua pelajar meninggal dunia

0
2
logo uitm

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) berdukacita dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dua pelajarnya yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, pihaknya amat prihatin terhadap isu kematian Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah serta Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang.

“Semoga keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, UiTM sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL).

“Sehubungan itu, pelajar yang memerlukan kemudahan internet dan peranti dibantu serta dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

“Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, UiTM, melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta pensyarah sudah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh penting tugasan kepada pelajar di awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.

“Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin juga sudah melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos depan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun lalu.

“Pada masa sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling UiTM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan yang diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

“Pelajar disarankan agar sentiasa berbincang dengan pensyarah, penasihat akademik atau ketua program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Kedah meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri pada Jumaat.

Imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan menunjukkan terdapat pendarahan di bahagian otak dan mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.50 petang .

Tular di media sosial dakwaan menyatakan seorang pelajar dari sebuah IPT meninggal dunia akibat stress berikutan perlu menjalani kuliah dalam talian selain bebanan tugasan dan persiapan menghadapi peperiksaan akhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here