TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, dalam keadaan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi semua pihak perlu bersatu dan bersama-sama untuk memerangi pandemik itu.
“Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat.
“Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, lebih 500,000 bakul makanan bernilai RM50 juta sudah diagihkan ke seluruh negara sejak Januari lalu.
Beliau berkata, bantuan itu dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Katanya, pada masa sama, untuk penduduk di kawasan bandar melalui program Kasih Prihatin, kerajaan memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk bukan tunai bernilai RM100 untuk 300,000 penduduk.
“Bantuan itu membolehkan rakyat membeli barang keperluan harian di 300 rangkaian kedai runcit, pasar mini dan pasar raya mulai Julai hingga September ini,” katanya. – Malaysiapost

