DOJ dapat balik AS$60 juta dari dana 1MDB

0
2

JABATAN Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat telah mendapatkan semula AS$60 juta (RM249 juta) selepas mencapai penyelesaian dalam kes pelucutan sivil ke atas aset yang diperoleh Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Razak, menggunakan dana dikatakan diseleweng daripada 1MDB.

Dana terbabit diperoleh daripada pengubahan wang haram menerusi institusi kewangan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

“Aset-aset ini dianggarkan bernilai lebih AS$60 juta dan dengan penyelesaian ini, bersama dengan pelupusan kes pelucutan berkaitan sebelum ini, AS telah mendapatkan atau membantu meraih semula hampir AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) aset yang dikaitkan dengan rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB,” kata DOJ dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Aset-aset yang dilucutkan dalam penyelesaian ini adalah tambahan kepada lebih AS$1 bilion aset yang sebelum ini disita berkaitan siasatan 1MDB oleh DOJ, yang dikatakan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi.

“Seperti dakwaan di dalam aduan pelucutan itu, Riza Aziz dan lain-lain, secara bersama telah mengubah secara haram berbilion dolar yang dicuri daripada 1MDB, satu dana pelaburan yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” kata pemangku penolong peguam negara AS, Brian C Rabbitt dari Jabatan Jenayah DOJ.

“(Riza) Aziz dan rakan komplotnya dikatakan mengalihkan dana ini untuk kepentingan peribadi mereka dan menggunakannya untuk memperoleh hartanah mewah di New York dan London dan membuat pelaburan peribadi.

“Pelucutan aset-aset ini akan menjadi tambahan kepada hampir AS$1.1 bilion yang dicuri dari 1MDB, yang telah DOJ AS bantu untuk dapatkan semula setakat ini dan dipulangkan kepada rakyat Malaysia,” tambah Rabbitt.

“Pelucutan ini memberikan isyarat jelas bahawa jabatan ini tidak akan membenarkan penjenayah mempergunakan sistem kewangan AS untuk mengubah hasil aktiviti haram mereka”.

Peguam AS Nick Hanna dari Central District of California pula berkata tindakan undang-undang akan diteruskan bagi merungkai skim pengubahan wang haram dan penyelewengan besar-besaran yang mencuri dana awam milik Malaysia itu.

“Hartanah mewah yang dirampas dan dilucutkan di seluruh negara menunjukkan komitmen kami untuk menghalang pelaku korup daripada mempergunakan AS sebagai tempat menyembunyikan kekayaan yang dicuri,” kata Hana.

Pada Mei, Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk lima pertuduhan jenayah kerana didakwa menerima hasil haram daripada dana 1MDB.

Penerbit ‘The Wolf of Wall Street’ dan ‘Dumb and Dumber To’ itu didakwa tahun lalu di Malaysia kerana dituduh menerima sejumlah AS$248 juta (RM1 bilion) antara 2011 dan 2012.

Riza dituduh melakukan kesalahan itu dengan menerima wang menerusi akaun bank Red Granite, syarikat penerbitan Hollywood yang dia asaskan bersama.

Pelepasan itu bagaimanapun bergantung pada pematuhannya terhadap persetujuan yang dicapai dengan pihak pendakwaan, antara lain, memulangkan anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) kepada kerajaan Malaysia.