KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang diberikan kecekalan dalam melaksanakan tugas dalam situasi getir susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Menerusi hantaran Facebooknya, Dr Noor Hisham, berkata barisan petugas hadapan adalah insan terpilih yang menjadi benteng terakhir pertahanan negara.
“Alhamdulilah, semoga semua petugas kesihatan tabah dan cekalkan hati melaksanakan tugas dengan baik dan InshaAllah dipermudahkan.
“Anda semua adalah insan terpilih dan benteng pertahanan terakhir negara,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, HTAR dalam kenyataan berkata, warga kerjanya belum berputus asa sebaliknya terus berjuang walaupun berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga berdepan masalah tidak cukup katil untuk menempatkan pesakit.
HTAR berkata, bagi mengatasi masalah itu pimpinan tertinggi hospital termasuk ketua jabatan dan unit membuat percaturan berani dengan mengubah fungsi beberapa kawasan menjadi wad sementara.
Katanya, tindakan yang mengambil kira semua penilaian risiko itu dapat menampung keperluan sementara situasi lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
“Antara kawasan yang dijadikan tempat rawatan pesakit Covid-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian.
“Kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit Covid-19 bermula jam 8 malam, 9 Julai 2021,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang membantu menjayakan inisiatif mengubah fungsi kawasan itu sebagai wad sementara.
Katanya, semua kakitangan berkenaan adalah wira kepada HTAR sewaktu hospital itu berdepan dengan masalah ketiadaan katil untuk merawat pesakit Covid-19.
“Bilangan kes harian di Selangor mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi HTAR kerana kes harian yang hadir ke Jabatan Kecemasan juga turut meningkat dengan mendadak sehingga tiada katil lagi untuk menempatkan pesakit-pesakit ini.
“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

