Sultan Selangor tidak sanggup lihat visual kesedihan rakyat

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak sanggup untuk melihat visual kesedihan waris keluarga yang tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah Covid-19 ke tanah perkuburan.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, disebabkan itu sehingga hari ini walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah demi keselamatan seluruh umat Islam di Selangor.

Baginda bertitah, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

“Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, titah baginda, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.

“Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Negeri Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar menghapuskan wabak berbahaya ini,” katanya.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here