‘Pemimpin jangan jadi diktator yang dipilih’ – Penganalisis Politik

0
2

PENGANALISIS Politik Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa pemimpin di negara ini tidak menjadi ‘diktator yang dipilih’.

Katanya, ini kerana kebanyakan pemimpin sudah jauh dari naluri rakyat dan mempunyai sikap ‘denial syndrome’ malah tindakan dan dasar mereka lari dari apa yang ingin dicapai.

“Terjadinya begini kerana sejak krisis kewangan 1998, pemimpin kita jauh dari naluri rakyat. Mereka ramai yang mempunyai ‘denial syndrome’.

“Tindakan dan dasar mereka banyak yang tergelincir dari realiti. Mereka semuanya “diktator yang dipilih,” katanya menerusi Facebook.

Mohammad Agus berkata, munculnya kempen rakyat bantu rakyat dengan cara mengangkat bendera putih juga tidak disukai sesetengah pemimpin.

“Matikah jiwa pemimpin sehingga memperlekehkan usaha rakyat? Tahun 2021 sampai masa kita menilai semula hala tuju negara. Ekonomi kita teruk biarpun menteri menyatakan semuanya baik.

“Pengangguran kita tinggi biarpun Jabatan Perangkaan melaporkannya menurun dari 4.6% pada bulan April kepada 4.5% pada bulan Mei 2021 (728,100 orang). Tengok sahaja berapa kilang SME tutup, kedai tutup, hotel tutup,” katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, politik negara tahun ini dilihat ‘kacau’ apabila kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengawal wabak Covid-19, tetapi ternyata tidak berkesan.

“Justeru, akibat darurat Parlimen dikunci. Demokrasi digantung. Impaknya tidak ada semak dan imbang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, keadaan kini bertambah parah disebabkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilihat berat sebelah khususnya kepada rakyat.

“Lebih teruk SOP dua darjat. Hukuman pula bukan untuk mendidik dan mencegah, tetapi menghukum. Denda dikenakan di luar kemampuan rakyat. PKP menjadikan rakyat susah. Ada yang bunuh diri kerana tekanan hidup,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut hairan dengan sikap seorang Menteri walaupun sudah terbukti kegagalan kerajaan menangani masalah wabak ini, namun tetap terus menafikannya.

“Kelmarin, sebagai reaksi kepada Ranking Ketahanan Covid-19 Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-51 daripada 53 negara yang gagal mengurus Covid-18, seorang menteri memberi respons dengan menyatakan negara kita tidak gagal.

“Kata menteri, bagaimana boleh kata gagal jika institusi negara seperti jabatan kesihatan dan jabatan kerajaan masih berfungsi?

“Saya bersetuju dengan kenyataan negara tidak gagal, tetapi kerajaan gagal – gagal mengurus Covid dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat.

“Rakyat juga tidak kata negara gagal, rakyat cuma kata kerajaan gagal. Antara negara gagal dengan kerajaan gagal itu berbeza,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here