BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata dakwaan bahawa situasi Covid-19 negara masih tidak kritikal hanyalah propaganda kerajaan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, malah penjelasan bahawa kes Covid-19 meningkat kebelakangan ini adalah disebabkan jumlah saringan yang tinggi, juga tidak dapat diterima.
“Sangat teruja dengan propaganda terbaru pihak kerajaan bahawa keadaan Covid Malaysia tidak teruk.
“Kononnya kes baharu tinggi sebab jumlah saringan yang dibuat lebih tinggi berbanding negara-negara jiran,” katanya di Facebook.
Najib berkata, jika benar mengapa pula kadar kematian baharu Covid-19 per kapita bagi Malaysia adalah lebih tinggi berbanding semua negara jiran malah tertinggi dalam dunia mengalahkan India.
“Buat lebih banyak saringan akan menyebabkan lebih banyak orang meninggal dunia ke?
“Jika tak teruk, kenapa pula penggunaan kapasiti ICU dan kapasiti rawatan hospital bagi pesakit yang bergejala sudah lama tercecah sehingga pesakit perlu ditempatkan di kawasan-kawasan parkir hospital?
“Jika kita tak teruk, kenapa pula Malaysia berada di kedudukan antara paling corot dalam indeks Covid Bloomberg, Nikkei dan Economist?,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang diberikan kuasa darurat untuk menggantung Parlimen dan perlembagaan dengan alasan mahu fokus lawan Covid.
Bagaimanapun, katanya, keadaan Covid-19 dan ekonomi negara boleh pula menjadi berkali ganda jauh lebih teruk selepas menerima kuasa penuh Darurat selama tujuh bulan.
“Jika tak gagal, kenapa pula kerajaan perlu buat PKP 2.0, PKP 3.0/3.1, Total Lockdown, PPN dan PKPD dalam tempoh 7 bulan sahaja?
“Terpaksa kurung rakyat berbulan-bulan lamanya hanya sebab jumlah saringan tinggi, ya? Orang putih kata, ‘to solve a problem, you must first admit that you have a problem’.
“Susahlah bagi front-liners, Rakyat dan negara jika korang masih berada dalam khayalan. Kerajaan gagal dari sudut mana, ya?,” katanya.
Semalam, Malaysia melakar sejarah hitam sekali lagi hari ini apabila merekodkan jangkitan harian Covid-19 sebanyak 9,353 kes, paling tinggi pernah direkodkan sejak wabak melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini jumlah kumulatif kes positif Covid-19 direkodkan di Malaysia ialah sebanyak 827,191 kes. – Malaysiapost

