TAN Sri Annuar Musa dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh netizen di laman Twitter.
Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam satu ciapannya, memaklumkan beliau bersama isteri menziarahi Tun Abdullah Badawi di kediaman bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini.
“Hari ini kami suami isteri ambil peluang ziarah YABhg Tun Abdullah Badawi YABhg Tun Jane Abdullah di kediaman mereka di Bait Badawi, KL.
“Lebih dua jam bersama dan makan tengahari masakan Tun Jane. Semoga Allah swt sentiasa merahmati Pak Lah dan seisi keluarga,” ciapnya di Twitter.

Bagaimanapun semakan di laman Twitter Annuar, mendapati ciapan itu telah dipadam.
Namun, netizen sempat melakukan tangkap layar dan menularnya di media sosial yang rata-rata melahirkan perasaan kesal kerana seorang menteri telah melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita ni rindukan keluarga sangat, tapi kerana patuh SOP, kita patuh pada arahan. Tapi dia selamba lakukan ziarah, kata seorang netizen.
“Macam mana rakyat tak marah, rakyat disuruh patuh SOP, tapi menteri.. Tengoklah.. Kita nak ziarah orang tua di kampung pun tak boleh,” kata netizen.
MKN telah memaktubkan kunjung mengunjung atau ziarah menziarahi adalah aktiviti yang dilarang sepanjang PKP 3.0 berlangsung. – Malaysiapost

